Random Article
 

 
 


Divasia | Dato’ Siti Nurhaliza

1
Posted March 17, 2011 by TP in Divasia

Dan kisahku yang masih panjang
Menambahkan berat yang memandang
Lantas kupendam, kuputuskan
Biarlah rahsia..

Hadirnya mencetuskan fenomena yang amat besar kepada dunia seni tempatan. Keayuan lakunya menambat hati mata yang memandang. Kelembutan tuturnya mengasyikkan setiap yang mendengar. Kemerduan lontarannya membuai hati jiwa yang meminati. Biduanita muda tanahair, Dato’ Siti Nurhaliza.

Siti Nurhaliza Bt Taruddin, anak jati Pahang ini telah dilahirkan pada 11 Januari 1979 di Berek Polis Kampung Awah, Temerloh. Lahir daripada keluarga besar pasangan Taruddin Ismail dan Siti Salmah Bachik, Siti adalah anak keempat daripada 8 orang adik beradik.Bapanya adalah seorang anggota polis manakala ibunya adalah seorang suri rumah. Beliau mula mendapat pendidikan awal di Tabika Perkep, Termerloh. Kemudian, beliau memulakan alam persekolahan sebenar di Sekolah Rendah Kebangsaan Clifford dan seterusnya menghabiskan pengajiannya sehingga ke tingkatan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford.

Beliau lahir dalam keluarga seni. Datuknya adalah seorang pemain biola manakala ibunya mempunyai kebolehan yang tinggi dalam mendendangkan lagu-lagu berirama tradisional Melayu. Mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi? Siti ternyata mewarisi bakat seni yang sangat berharga. Beliau sering menyaksikan ibunya menyanyi di majlis-majlis keraian kampung dan dari situ lah minat menyanyinya mula timbul. Tetapi, kerana sifat malunya,beliau hanya berani menyanyi secara bersendirian di dalam bilik, sambil menggayakan botol minumannya sebagai mikrofon. Pada mulanya, apabila tingkahnya diperhatikan orang, beliau pasti tidak akan meneruskan ‘persembahannya’ itu. Sehinggalah pada suatu majlis perkahwinan, kerana ada yang tahu bakat terpendam Siti, namanya telah diumumkan untuk membuat persembahan. Dek kerana sifat malunya, pada awalnya beliau lari dan tidak mahu untuk membuat persembahan tersebut. Tetapi akibat ditarik oleh rakan-rakannya, beliau akhirnya akur dan dari situ, maka timbul keyakinan dalam diri beliau yang beliau sebenarnya boleh menyanyi di hadapan orang ramai.

Semenjak itu, Siti lebih berani untuk memasuki pelbagai pertandingan nyanyian di kampungnya. Pada usia 12 tahun, beliau telah berjaya menjadi johan pertandingan nyanyian Karnival Kuala Lipis di mana beliau telah menyanyikan lagu ‘Bahtera Merdeka’ bersempena dengan Nyanyian Bulan Kemerdekaan pada waktu itu. Beliau kemudian mula mengikut bapa saudaranya, Abdul Rahim Bachik dan mula akif menyanyi di majlis-majlis perkahwinan sehingga namanya semakin dikenali oleh masyarakat kampung. Atas ajakan abangnya, Saiful Bahari, pada usia 16 tahun, beliau telah mengambil langkah besar untuk memasuki pertandingan Bintang HMI anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM). Mendaftar pada saat-saat akhir, Siti telah menyanyikan lagu ‘Kaulah Segalanya’ dendangan Ruth Sahanaya pada peringkat ujibakat. Beliau berjaya lulus ke peringkat mingguan, dan telah menyanyikan lagu daripada salah seorang idolanya, Ziana Zain berjudul ‘Kemelut Di Muara Kasih’. Biarpun tidak menjadi juara mingguan, tuah masih lagi berpihak kepada Siti apabila beliau telah mara ke peringkat akhir hasil penilaian semula para juri. Beliau memilih lagu Aishah ‘Camar Yang Pulang’ untuk dipersembahkan dan detik itulah menjadi antara saat paling penting dalam hidupnya apabila telah diumumkan sebagai juara keseluruhan pertandingan tersebut.

Sewaktu pertandingan tersebut berlangsung, Siti telah berkenalan dengan seorang komposer terkenal, Adnan Abu Hassan. Adnan nampak bakat yang ada dalam diri Siti, dan beliau beliau membimbingnya dari segi vokal dan persembahan sehingga berjaya menjadi johan. Selepas itu, beliau telah ditawarkan kontrak rakaman oleh beberapa label tetapi Siti akhirnya memilih untuk bernaung di bawah Suria Records. Biarpun terpaksa mengimbangi antara pelajaran dan nyanyian, Siti tetap berjaya menghabiskan rakaman album sulungnya ‘Siti Nurhaliza’. Single pertamanya ‘Jerat Percintaan’ hasil karya Adnan Abu Hassan menjadi pelopor kejayaan Siti dalam bidang muzik tanahair. Lagu tersebut telah dinobatkan sebagai lagu terbaik pertandingan Juara Lagu anjuran TV3 pada tahun 1996, sekaligus menewaskan lagu-lagu hebat yang lain termasuklah lagu ‘Kemelut Di Muara Kasih’. Pada waktu itu, masih ramai yang tidak mengenali siapa dia Siti Nurhaliza tetapi apabila beliau muncul sebagai pemenang, namanya mula meniti di bibir peminat.

Media juga turut mula mengejar beliau dan nama dan wajahnya semakin banyak dipaparkan di dada akbar dan majalah. Pada awalnya, imejnya yang sederhana dan prinsipnya untuk tidak bergambar di samping artis-artis lelaki menjadi celaan ramai pihak. Namun begitu, Siti tetap dengan pendiriannya dan terus mengekalkan imej pemakaian yang sopan biarpun digelar sebagai ‘artis kampung’. Beliau tidak mengedahkan segala kritikan yang tidak berasas dan hanya menumpukan pada kerjaya nyanyiannya. Beliau membuktikan bahawa imej yang menjolok mata, bukanlah kunci kepada kejayaan tetapi disiplin dan bakat yang asli menjadi penentu. Kejayaan demi kejayaan diperoleh oleh anak gadis ini. Jenama ‘Siti Nurhaliza’ semakin menular ke serata negara. Auranya yang tersendiri oleh diibaratkan sebagai ‘a breath of fresh air’. Populariti beliau berkembang dengan begitu pesat sehingga mampu menenggelamkan populariti penyanyi wanita no 1 pada waktu itu, Ziana Zain.

Album keduanya yang juga menggunakan judul yang sama, mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Menurut sumber, album tersebut dikatakan telah terjual sebanyak 400,000 unit! Satu pencapaian yang membanggakan untuk artis baru sepertinya. Namun Siti tidak leka dengan kejayaannya itu. Usaha diteruskan apabila beliau telah muncul pula dengan album tradisionalnya yang pertama, ‘Cindai’. Album tersebut juga mendapat sambutan peminat dan lagu ‘Cindai’ telah dinobatkan sebagai lagu terbaik pada anugerah Juara Lagu 1998. Sepanjang kariernya sehingga ke hari ini, Siti Nurhaliza telah mempunyai hampir 40 buah album. Ini termasuk album studio, duet, kompilasi, konsert, runut bunyi dan juga penampilan khasnya. Antara lagunya yang menjadi hits adalah seperti ‘Aku Cinta Padamu’, ‘Cindai’, ‘Hati Kama’ (duet bersama Noraniza Idris), ‘Seindah Biasa’,'Biarlah Rahsia’ dan banyak lagi. Bilangan lagu yang pernah direkodnya adalah melebihi 140 buah lagu dan mungkin jumlahnya adalah lebih tinggi daripada itu.

Setiap produk yang dihasilkan oleh beliau pasti berkualiti. Ini dapat dibuktikan apabila album-album dan lagunya kerap kali mendapat pengiktirafan di majlis-majlis anugerah seperti Anugerah Industri Muzik (AIM), Anugerah Juara Lagu, Anugerah Planet Muzik dan banyak lagi dalam pelbagai kategori termasuk Album Terbaik. Vokal beliau tenyata bagus apabila menjadi satu-satunya artis wanita yang paling banyak memenangi Anugerah Persembahan Vokal Wanita Terbaik (di dalam album dan juga lagu) di AIM. Hanya seorang sahaja penyanyi wanita lain yang berjaya memecahkan dominasi beliau dalam kategori tersebut iaitu Jaclyn Victor pada tahun 2007. Keputusan tersebut telah mencetuskan kontroversi di kalangan media dan peminat fanatik Siti Nurhaliza namun kekalahan tersebut tidak menjadi bebanan untuk Siti kerana ia bukan pengakhiran segalanya.

Siti bukan sahaja diiktiraf sebagai antara yang terbaik, tetapi beliau juga merupakan artis yang paling popular. Beliau mempunyai peminat yang sangat ramai. Tidak kira bangsa dan usia, para peminatnya tidak pernah jemu untuk menyokong dan menyayangi artis kesayangan mereka ini.Hal ini sememangnya terbukti apabila Siti dinobatkan sebagai Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sebanyak 13 tahun berturut-turut! Beliau juga telah diangkat sebagai Artis dan Bintang Paling Popular sebanyak 8 kali. Memang belum ada lagi artis lain yang mampu menandingi tahap popularitinya. Biarpun aura Mawi (pemenang Akademi Fantasia musim ketiga) pernah menjadi fenomena besar industri muzik, namun beliau juga tidak mampu mengatasi prestasi seni Siti Nurhaliza. Siti turut diiktiraf sebagai artis yang paling banyak menerima anugerah baik dari dalam dan juga luar negara.

Kebolehan beliau untuk membuat persembahan secara ‘live’ memang tidak dapat disangkal. Beliau bukan sahaja pernah mengadakan konsert besar di dalam negara seperti Konsert Mega Siti Nurhaliza 2001, Konsert Suara Hari Sudirman, dan Konsert SATU malah beliau juga mencatat sejarah sebagai artis tempatan pertama yang berjaya mengadakan sebuah konsert besar di Royal Albert Hall London pada tahun 2005. Beliau tidak pernah jemu untuk berusaha melebarkan sayap kerjayanya. Beliau juga telah mencipta pelbagai kejayaan di Indonesia dan menjadi antara penyanyi tempatan yang paling berjaya mengukir nama di negara tersebut. Selain itu beliau juga pernah mengadakan persembahan di Jepun, Singapura, Brunei, Taiwan, Australia dan banyak lagi.

Dalam pada sibuk menerajui kerjaya nyanyiannya, Siti juga pernah menjadi duta beberapa jenama terkenal seperti Pepsi, Maybelline, TM Net, Pantene, Jusco dan banyak lagi. Beliau turut menunjukkan minat yang tinggi dalam bidang perniagaan dan memiliki labelnya sendiri, Siti Nurhaliza Productions. Beliau juga pernah berkerjasama untuk mengasilkan produk teh jenamanya sendiri iaitu CTEA dan terbaru beliau terus aktif dalam kancah perniagaan dengan terhasilnya produk kecantikannya sendiri, ‘SimplySiti’. Jenama ini semakin mendapat tempat di kalangan peminat kecantikan kerana kualitinya bersesuaian dengan kulit wanita dan juga lelaki Asia. Biarpun baru setahun jagung , ‘SimplySiti’ telah diiktiraf sebagai produk halal terbaik 2010. Seakan boleh diibarat, apa sahaja yang disentuh oleh wanita hebat ini, pasti akan menjadi emas. Sikap berani mengambil risko dan berani mencuba membuatkan beliau terus disanjungi. Kini beliau turut memiliki rancangan bual bicaranya sendiri bertajuk ‘SITI’.

Pada tahun 2006, atas sumbangannya yang besar dalam mengharumkan nama negara, Siti Nurhaliza telah menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’. Biarpun begitu, gelaran tersebut tidak melalaikan beliau. Terkenal dengan sifat lembut dan rendah dirinya, Siti masih lagi bisa membahasakan dirinya dengan panggilan ‘Siti’. Sifat inilah yang amat digemari oleh peminatnya.Kejelitaan rupa paras beliau menjadi igauan ramai anak muda. Malah ada ramai yang mengimpikan untuk menjadikan insan bernama Siti Nurhaliza sebagai isteri. Siti juga pernah digosipkan bercinta dengan beberapa artis lelaki Melayu tetapi tidak satupun dapat dibuktikan kesasihannya. Kisah percintaan rahsianya akhirnya terjawab apabila pada Julai 2006, Siti Nurhaliza telah dengan seyakinnya memilih Datuk Khalid Mohd Jiwa sebagai raja pemilik hatinya. Pasangan tersebut telah bernikah di Masjid Wilayah Persekutuan dan melangsungkan majlis persandingan mereka dengan penuh gemilang di Kuala Lumpur, dan juga Kuala Lipis. Kebahagiaan mereka berterusan dan terus utuh sehingga ke hari ini. Pasangan ini juga telah menubuhkan Yayasan Nurjiwa iaitu sebuah badan kebajikan yang semakin dikenali.

Siti Nurhaliza adalah satu ikon yang yang cukup besar. Sebanyak mana pujian dan sebesar mana pengiktirafan yang diberikan kepada beliau, sebanyak itu jugalah kritikan, cacian dan kutukan yang dilemparkan kepadanya. Bukan senang untuk memuaskan hati semua orang, tetapi bagi Siti, ia tidak pernah mematahkan semangat beliau untuk terus menghambakan diri sebagai anak seni. Siti juga mempunyai bilangan peminat fanatik yang begitu ramai. Golongan ini tidak pernah putus untuk menyokong apa sahaja yang dilakukan oleh Siti. Sememangnya Siti bertuah kerana benteng peminatnya kukuh dan berterusan sehingga ke hari ini. Kejayaan dan kekayaan yang diperoleh oleh Siti tidak hadir dengan bergolek. Segala yang dimilikinya sekarang adalah hasil usaha keras dirinya dan juga dengan bantuan insan-insan yang disayangi. Disiplin diri dan sikap profesional yang diamalkan dari awal lagi amat disenangi ramai pihak. Sikapnya yang berdidikasi dalam menjalankan tanggungjawbnya wajar dicontohi oleh artis-artis baru masa kini. Beliau senantiasa memastikan memastikan hubungan baiknya dengan pihak media dan peminat dijaga dan diteruskan kerana merekalah antara yang banyak telah membantunya berada di tahap sekarang. Tiada apa lagi yang harus dibuktikan oleh beliau. Beliau kini berada di liganya yang tersendiri dan tiada yang mampu menggugat kehebatannya. Walaupun pelbagai badai melanda, berkat doa dan hati yang ikhlas, jenama ‘Siti Nurhaliza’ masih terus utuh sehingga ke saat ini. Pastinya, beliau akan terus diingati sebagai salah seorang lagenda muzik tanahair kerana legasi muziknya tidak akan pernah lupu ditelan waktu. Itulah dia, diva moden Malaysia, satu-satunya, Dato’ Siti Nurhaliza.

Tak hidup dek puji, Tak mati dek keji” – Dato’ Siti Nurhaliza

Komen


One Comment


  1.  
    idZzam

    >SAYANG CT!





Leave a Response

(required)


 
Akan Datang
 
  • Aku Ada
  • HooreHoore
  • 29Feb
  • Mantera
  • 3Temujanji
  • JanganPandangPandang
  • BPB
  • ChowKit