Jiwa Taiko
Info
Tahun: 2012Sebelum hadirnya Ombak Rindu, nama Osman Ali tidaklah begitu gah di mata penonton filem biarpun ada beberapa karya beliau yang menyerlah sepeti Anak Halal dan Cun!. Ombak Rindu seakan telah membuka lembaran baru buat pengarah ini dan ramai mata mula memberi lebih perhatian kepadanya. Hari ini, filem terbaru Osman berjudul Jiwa Taiko membuka tirai tayangan [...]
Sebelum hadirnya Ombak Rindu, nama Osman Ali tidaklah begitu gah di mata penonton filem biarpun ada beberapa karya beliau yang menyerlah sepeti Anak Halal dan Cun!. Ombak Rindu seakan telah membuka lembaran baru buat pengarah ini dan ramai mata mula memberi lebih perhatian kepadanya.
Hari ini, filem terbaru Osman berjudul Jiwa Taiko membuka tirai tayangan di panggung tempatan. Dibintangi oleh barisan pelakon ternama seperti Remy Ishak, Bront Palarae, Diana Danielle dan Nadiya Nissa, filem ini secara amnya mengisahkan tentang gejolak dunia remaja .
Malang sekali bagi Osman, naskhah beliau kali ini dirasakan adalah yang terburuk dalam resume penulisan beliau. Jiwa Taiko tenggelam dalam sebuah kisah percintaan yang memualkan. Biarpun tajuknya kedengaran ganas dan diwar-warkan juga filem ini mengetengahkan seni silat Melayu, namun isinya amat lembik dan mendayu-dayu.
Kesilapan ketara Jiwa Taiko adalah ceritanya sendiri yang terlalu sinonim dengan Osman. Beliau seperti kekeringan idea untuk mengolah sebuah kisah remaja sehingga filem ini kelihatan seperti versi murahan Anak Halal kerana formulanya sama.
Amat sukar untuk TP menghabiskan tontonan filem ini kerana ia mengecewakan. TP mahu untuk menyukainya namun gagal. Mungkin harapan yang tinggi terlalu diberikan terhadap filem ini. Lakonan mantap Nadiya Nissa dan Bront Palarae juga tidak mampu menyelamatkan Jiwa Taiko daripada terus hanyut dan lemas dalam fantasi Osman.
Bukan sahaja penceritaannya tidak dapat diterima, teknik suntingan filem ini turut mengganggu perjalanan tontonan. Perkara yang paling mengganggu adalah teknik pertukaran babak yang digunakan oleh Osman. Cukup menjengkelkan. Mungkin ada yang suka, tetapi TP tidak.
Jiwa Taiko ibarat sebuah mimpi ngeri. Ia tidak harus diingat lagi.



















