Perjalanan
Info
Tahun: 2012Shanel Shanty James atau lebih mudah dikenali sebagai Shanel bukanlah pendatang baru dalam industri muzik sebenarnya. Biarpun album ini merupakan naskhah sulung beliau, namun Shanel telah lama berkecimpung dalam bidang ini semenjak kemunculan beliau sebagai salah seorang peserta dalam pertandingan reality pencarian bakat Audition yang ditayangkan di NTV7 pada 2004. Selama lebih kurang setahun, fokus [...]
Shanel Shanty James atau lebih mudah dikenali sebagai Shanel bukanlah pendatang baru dalam industri muzik sebenarnya. Biarpun album ini merupakan naskhah sulung beliau, namun Shanel telah lama berkecimpung dalam bidang ini semenjak kemunculan beliau sebagai salah seorang peserta dalam pertandingan reality pencarian bakat Audition yang ditayangkan di NTV7 pada 2004. Selama lebih kurang setahun, fokus beliau tertumpu pada penerbitan album pertamanya yang diterbitkan oleh Kevin Chin, minda dibelakang Beribu Sesalan, menerusi Euphoric Pte Ltd.
Berjudul Perjalanan, album ini mengandungi 8 trek dan dibentuk dalam jurus muzik pop. Konsep ini jelas bersesuaian dengan Shanel terutama sekali bagi memperkenal namanya kepada umum. Fantasi (Kevin Chin/Shahrom Rashid) dipilih sebagai trek pembukaan. Lagu ini dimulakan dengan muzik midtempo pada verse-nya dan mula bergerak lebih pantas pada bahagian chorusnya, dan boleh dilabel sebagai sebuah dance tune. Gabungan ini memberikan lagu tersebut satu tarikan tetapi ia pasti akan lebih menyerlah sekiranya Shanel menyuntik lebih attitude dalam lotarannya. Konsep lagu upbeat pop ini turut digunapakai dalam dua lagu lain iatu Menanti (Kevin Chin/Tinta S) dan juga Yang Terindah (Azlan Abu Hassan/Shahrom Rashid) dimana dalam trek ini, Alif Satar tampil sebagai rakan duet. Album ini turut diisi dengan sebuah lagi lagu duet Dari Hati Ke Hati (Kevin Chin/Tinta S) dendangan Shanel dan Jeanette. Mempunyai pengaruh muzik dance 70an, lagu ini melengkapkan senarai lagu upbeat bersifat santai di dalam penerbitan ini.
DiciptaNya Hawa (Kevin Chin/Tinta S) yang diletakkan sebagai trek ketiga adalah antara yang terbaik dalam album ini. Berentak pop balada dengan gaya moden, lagu ini cukup tepat dijadikan sebagai contoh mengapa Shanel wajar diberi perhatian. Kawalan vokalnya kemas dan lagu ini sendiri mempunyai maksud yang indah. Tona suara Shanel pada nada rendah terutamanya mengingatkan TP kepada suara Dato’ Sheila Majid pada awal-awal kemunculan. Persamaan itu dapat didengar pada verse pertama lagu balada Kau Erti Hidupku (Azlan Abu Hassan/Sulu Sarawak). Biarpun melodinya sedap tetapi TP agak kurang berkenan dengan lirik yang ditulis oleh Sulu Sarawak kerana ceritanya cintanya tipikal dan penulisannya agak bersifat satu dimensi.
TP lebih menyukai lagu Disakiti Cinta (Yudha Chandrawinata) biarpun ceritanya masih berkisar cinta, tetapi ada sesuatu jiwa yang berbeza dalam melodinya yang apabila digabungkan dengan lirik, ia kedengaran klasik dan lebih menyentuh. Begitu juga dengan Tidur (Kevin Chin/Shahrom Rashid). Intro lagu ini pula mengingatkan TP pada intro lagu A House Is Not A Home persembahan mendiang Luther Vandross. Sebuah lagu balada yang tidak besar tetapi mempunyai dinamik dalam susunan dan pergerakan melodinya yang amat membantu menyerlahkan vokal Shanel.
Secara keseluruhan, Perjalanan adalah sebuah album sulung yang baik kerana variasi muzik pop yang wujud, memberikan ruang kepada peminat muzik tempatan untuk menerima kehadiran Shanel. Tetapi untuk terbitan seterusnya, TP berharap agar Shanel diberikan senarai lagu yang lebih berjiwa agar beliau dapat menzahirnya nyanyiannya dengan labih beremosi lagi kerana Shanel mempunyai bakat suara yang cukup bagus.














